“Andai hati ini kau miliki, siapalah diriku buat dirinya”
“Mira, kau janganlah begini. Banyakkan bersabar. Mesti ada sebab Fendi mengambil keputusan sebegini sekali. Aku yakin yang dia masih mencintai kau dan tidak mungkin dia sengaja memainkan perasaan kau.”
Pujukan Zura tidak lagi aku endahkan. Zura mengusap-ngusap belakangku sambil sebelah lagi tangannya menggenggam erat tanganku. Di dalam kotak fikiranku hanyalah Fendi, satu-satunya lelaki yang aku cintai sepenuh hati. Begitu mudah dia memutuskan hubungan kasih yang telah kami bina selama bertahun-tahun.
Pagi tadi aku telah menerima kiriman SMS daripada Fendi. Dia telah menyatakan bahawa di antara kami sudah tiada apa-apa lagi hubungan dan dia meminta aku untuk melupakan dirinya. Puas aku cuba menghubunginya, tetapi panggilan dan kiriman SMS yang aku hantar langsung tiada jawapan. Kini aku ditinggalkan begitu sahaja tanpa sebab yang munasabah. Terasa seperti ingin menjerit sekuat hati melepaskan perasaanku. YA ALLAH, badai apakah yang menimpa jiwaku ini. Hari-hari yang mendatang kian suram tanpa irama cinta yang sebelum ini menjadi rentak dalam setiap getar nafasku.
Seperti didodoi tidurku mendengar lagu Atas nama cinta nyanyian artis Indonesia itu. Barulah aku sedar rupanya telefonku yang berbunyi. Nama Shahriz tertera di skrin, terasa malas untuk menjawabnya.......